Tuesday, August 31, 2010

Penghargaan Agama Terhadap Kaum Wanita - kisah Al-Qomah

Sunggung besar sekali fungsi wanita sebagai ibu yang diberikan oleh Nabi. Oleh kerana itu anak mempunyai kewajipan supaya menghormati ibunya, sebab ibulah yang paling dekat dengan anaknya dalam kehidupan seharian.
Kehidupan seorang manusia, sebahagian besarnya adalah bergantung kerana kasih mesranya seorang ibu, sebab ibulah yang mengandung, ibulah yang melahirkan dan ibu pulalah yang menyusukan. Justeru dalam sebuah hadis dijelaskan oleh Rasulullah :

"ketika datang seseorang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya : "siapakah orang yang paling berhak saya pergauli dengan baik? jawab baginda : ibumu. kemudian siapa? jawabnya lagi : ibumu! Kemudian siapa? jawabnya : Ibumu ! dan lalu siapa? Jawab baginda " Ayahmu"

(HR Bukhari Muslim)

"Ibnu Mas'ud bertanya kepada baginda Nabi, Ya Rasulullah! Apakah amal yang lebih mulia? Jawab Nabi: Mengerjakan solat pada waktunya, berbuat baik kepada ibu bapa, jihad di jalan Allah"
(HR Bukhari Muslim)

Selain dari keterangan hadis diatas, ayat Al-Quran juga menganjurkan supaya berbuat baik kepada ibu bapa, antara firman Allah tersebut ialah :

"Kami wasiatkan kepada manusia, supaya ia berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya yang mengandung dia dengan berbadan lemah yang berlipat ganda, melahirkannya dan menyusukannya, dan menceraikan dari susu sesudah dua tahun lamanya. sebab itu hendaklah berterima kasih kepadaKu dan kepada ibu bapamu"
(Luqman : 14)

Kerana begitu beratnya badan yang ditanggung oleh seorang ibu pada waktu mengandung, melahirkan dan juga membesarkan anaknya, maka bagi mereka yang derhaka kepada ibu adalah termasuk dosa besar.

Sebuah kisah pada zaman Rasulullah :

Pada waktu itu, para sahabat dilanda dukacita, kerana seorang yang bernama Al-Qomah berada dalam keadaan sakit. Ia adalah sahabat Nabi yang sangat setia. Seluruh Tubuhnya penuh dengan bekas-bekas luka kerana melindungi Rasulullah pada waktu Perang Uhud.

Yang membuatkan para sahabat bersedih bukan sakitnya Al-Qomah, tetapi detik-detik sakatul mautnya sungguh memilukan. Mulutnya tertutup rapat. Tidak mampu mengucapkan sesuatu kecuali mengerang kesakitan.

Mereka telah mengajarnya untuk mengucapkan kalimah tauhid. Namun lidahnya sangat kaku untuk mengucapkan kalimah suci itu. Para sahabat berasa cemas kalau-kalau Al-Qomah mengakhiri hidupnya tanpa sempat mengucapkan kalimah tauhid itu. Bukankah merupakan mala petaka besar bagi seorang muslim jika di akhir hayatnya tidak mengagungkan keEsaan Allah?

Salah seorang sahabat lalu mendatangi Rasulullah dan menceritakan musibah itu. Nabi segera berangkat untuk melihat sendiri derita yang menimpa sahabat setianya.

Dengan sabar beliau membisikkan kalimah tauhid ke telinga Al-Qomah serta berpesan, "Al-Qomah..bertaubatlah kepada Allah, dan sebutlah nama Tuhanmu"
Tetapi Al-Qomah tetap membisu. Hanya nafasnya yang menunjukkan bahawa dia masih dapat memahami ucapan Nabi.
Sampai tiga kali Nabi mengulangkan bisikannya. Tetapi sahaja Al-Qomah tidak mampu mengikutnya.

Kesudahannya Nabi tidak lagi meneruskan ucapannya. Beliau melihat para sahabat dan bertanya, "Apakah kamu semua tahu, masihkan Al-Qomah mempunyai orang tua? Aku curiga mungking Al-Qomah pernah berbuat derhaka, dan orang tuanya tidak redha kepadanya."

Salah seorang berkata, "setahu saya ayahnya sudah meninggal dunia, tetapi ibunya masih ada."

"dimana rumahnya", Nabi bertanya.

Sahabat yang lain menceritakan, "Ibu Al-Qomah tinggal dalam sebuah pondon buruk di kampung seberang"

Lalu Nabi memerintahkan Ali dan Bilal untuk mencari ibu Al-Qamah serta mengemukakan nasib yang menimpa anaknya. Agar dengan demikian, ibu Al-Qamah bersedia memaafkan segala kesalahan anaknya.

Setelah menemui rumah ibu Al-Qomah, Ali dan Bilal terkejut. Ternyata ibu Al-Qomah sudah uzur.

"Benarkah nenek ibu Al-Qomah"

Nenek itu menggelengkan kepalanya, sambil menjawab "bukan, saya bukan ibu Al-Qomah"

"tetapi orang di sini menyatakan bahawa rumah ini adalah rumah ibu Al-Qomah" tegas Ali.

"Tuan mahu percaya kepada siapa? kepada orang yang tinggal tidak jauh dari rumahku ini, atau kepadaku yang tinggal di rumah ini"

Sebelum Ali dan Bilal sempat bertanya lagi, nenek itu menyatakan, "dulu memang Al-Qomah anakku. Dulu waktu berada dalam kandunganku. dulu waktu aku melahirkannya dengan susah payah. dulu waktu ia kelaparan, kedinginan, dan aku yang menyuapinya serta memberinya air susu dari darah dagingku. sekarang Al-Qomah bukan anakku lagi"

Ali dan Bilal terkejut.

Nenek itu melihat jauh, wajahnya berubah mendung. Lalu dengan suara yang terputus-putus dan air mata yang mengalir di pipi ia mulai bercerita : "sesudah Al-Qomah dewasa dan punyai isteri dia bukan anakku lagi. Al-Qomah terlalu sibuk dengan urusannya, terlalu condong hatinya kepada isterinya, sampai tidak ada waktu untuk datang melihatku. Apa lagi nafkah atau pemberiannya, tidak pernah dikirimkan kepadaku."

Ali dan Bilal menundukkan kepala. Nenek itu terus bercerita, "suatu ketika dahulu, Al-Qomah lalu di depan rumahku. Hanya sekali itu sahaja sejak ia punya isteri. Ia singgah di rumah ini sambil membawa dua bungkusan. Bungkusan itu yang satu diserahkan kepadaku. Alangkah gembiranya hatiku. Lenyap semua kesakitanku. bungkusan itu segera ku buka di depan matanya. untuk menunjukkan kepadanya bahawa aku sangat senang dengan pemberiannya. Ternyata bungkusan itu berisi sehelai kain sutera yang sangat indah. ku peluk kain itu ku cium. Namun apa yang terjadi? ia mengambil kain itu dari tanganku serta berkata, "maaf mak, saya salah menyerahkan hadiah untuk mak. Kain sutera ini sebenarnya untuk isteri saya. Yang untuk mak adalah bungkusan yang satu lagi."

Ali dan Bilal terus mendengarkan, nenek itu terus bercerita. "Aku sebenarnya sangat kecewa, tetapi kekecewaan itu aku tahan, dengan harapan kalau-kalau bungkusan yang satu lagi itu isinya tidak kurang nilainya dari bungkusan yang pertama. dengan perasaan yang masih tetap gembira, aku menimang-nimang bungkusan yang satu lagi itu, sampai Al-Qomah meninggalkan rumah ku ini."

"sesudah itu ku buka bungkusan tersebut. Alangkah kecewa hatiku, sebab bungkusan yang kedua itu hanya berisi sehelai kain buruk yang kemungkinan dibelinya di tepi jalan. Masih berhakkah Al-Qomah menganggap dirinya anakku?"

Kini betul-betul Ali dan Bilal ditimpa kebimbangan. mereka tidak tahu apa yang harus mereka lakukan. sudah jelas, nenek itu kecewa yang tidak dapat di tahan lagi. masih mungkinkan ia mengampuni anaknya?

Maka dengan ragu-ragu Ali berkata, "Al-Qomah sedang dalam keadaan hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ia tidak dapat mengucapkan kalimah tauhid. Rasulullah memohon agar nenek mahu memaafkan Al-Qomah."

"Tidak ! Al-Qamah bukan anakku. Rasulullah boleh memerintahkan apa sahaja kepadaku, asal jangan menyuruhku mengampuni Al-Qomah. Dia terlalu derhaka kepadaku. Dia bukan anakku!"

Ali dan Bilal terpaksa pulang dengan sia-sia. Mereka berjumpa Nabi dan menceritakan semuanya. Nabi termenung. Al-Qomah masih tetap dalam keadaan tersiksa.

Kemudian Nabi berkata, "Baik lah Ali dan Bilal. Kembalilah kepada nenek itu, dan minta ia datang kemari. Jangan katakan apa tujuannya. Beritahu sahaja bahawa aku, Rasulullah menyuruh ia datang."

Maka Ali dan Bilal pun membawa seekor unta untuk menjemput ibu Al-Qomah sebagai kenderaannya.

Pada waktu itu juga Rasulullah memerintahkan para sahabat untuk mencari kayu api supaya dikumpulkan di halaman rumah Al-Qomah. dan Al-Qamah diangkat bersama tempau tidurnya ke dekat kayu api yang telah terkumpul itu.

Setelah Ali dan Bilal kembali membawa ibu Al-Qomah, Rasulullah langsung menyambutnya dengan penuh hormat.

"selamat datang wahai nenek yang mulia"

"Terima kasih wahai junjungan" Ibu Al-Qomah menjawab dengan gembira.

Namun tiba-tiba ibu Al-Qomah yang sudah uzur itu berubah air mukanya. Ia kelihatan pucat, lalu bertanya, "siapakah yang terbaring dekat kayu api yang banyak itu?"

Rasulullah menjawab,"seorang anak manusia yang terbaring itu adalah anak nenek, Al-Qomah. Ia derhaka kepada ibunya, jadi ia tersiksa pada waktu akan menghembuskan nafasnya yang terakhir. kerana itu, daripada ia terus menderita, lebih baik akan ku bakar dalam kayu api yang telah dikumpulkan itu yang sekejap lagi akan dinyalakan."

Mendengar yang demikian seluruh tubuh nenek itu menggigil, lalu bertanya, "betulkah ia akan dibakar?" Rasulullah menganggukkan kepalanya, sambil menyatakan, "pasti, kecuali jika nenek mengampuni dosa-dosanya"

"Tidak ! Bakarlah dia. Aku tidak peduli. Dia bukan anakku." nenek itu memekik.

Nabi lalu mengisyaratkan kepada para sahabat untuk membakar kayu api yang sudah dikumpulkan itu. Setelah api menyala, Nabi menyuruh agar Al-Qomah diangkat dari tempat ia baring dan melemparkannya ke dalam api.

Nenek itu terperanjat. Ia memekik pada waktu Al-Qomah sudah diangkat mahu menuju api yang sedang sangat besar menyala. "betulkah akan kau bakar hidup-hidup di depanku selaku seorang wanita"

Nabi kembali menganggukkan kepalanya sambil menjawab, "pasti, bila nenek tidak mahu memaafkannya"

"Tidak ! Tidak ! lebih baik ia dibakar daripada aku harus memaafkannya. Bakarlah ia, Al-Qomah bukan anakku."

Maka dengan serentak Al-Qomah diangkat tinggi dan diayunkan hendak dilemparkan ke dalam api yang sedang menyala.

Nenek itu kembali memekik dan menangis. "Ya Rasulullah, jangan bakar dia. Bagaimanapun Al-Qomah adalah darah dagingku sendiri dan aku ampuni segala kesalahannya"

Begitu sahaja nenek itu mengucapkan kata-kata tersebut, ketika itu juga Al-Qomah dapat menyebut kalimah tauhid dan meninggal dunia dengan tenang.

Cerita di atas ini menjelaskan kepada kita, betapa bahayanya jika seseorang itu derhaka kepada orang tuanya, dan betapa mulianya kasih seorang ibu. Oleh kerana itu, tepatlah jika Islam memberikan penghargaan yang setinggi-tingginya untuk kaum wanita.

p/s : *buatmu yang bergelar anak (lelaki) - utamakahlah ibumu dalam segala hal. sedalam manapun cintamu terhadap isterimu, ingatlah ibumu adalah yang paling utama.
*buatmu insan bergelar isteri - selalulah ingatkan suamimu bahawa, dia harus mengutamakan ibunya berbanding dirimu. Mahukah kamu jika suami yang kamu cintai itu menimpa nasib yang sama sprt Al-Qomah?

0 budak kiut cakap-cakap: