Monday, July 5, 2010

Perigi Mencari Timba...Wajarkah..?

Giliran Wanita Yang Buka Mulut, "Tidak Salah Perigi Mencari Timba" – Dato’ Dr. Fadzilah,

Ramai yang sudah berkeinginan untuk berkahwin tapi tidak juga kahwin-kahwin. Nampak seolah-olah susahnya menuju ke gerbang perkahwinan, seperti susahnya hendak mendapat rezeki walaupun rezeki kelihatan sudah ada di depan mata.

Begitulah halnya dengan seorang wanita dalam soal mendapatkan jodoh. Kadang-kadang calonnya sudah ada tapi belum juga dapat berkahwin disebabkan halangan tertentu. Berkahwin menjadi susah mungkin kerana calon yang difikirkan sesuai sudah ada tetapi si lelaki tidak memulakan inisiatif untuk menyatakan hasrat, apalagi untuk masuk meminang. Pinangan yang ditunggu tak sampai-sampai.

Perempuan juga mungkin susah mendapatkan jodoh kerana telah melewati usia tertentu. Misalnya, seorang kakak sulung mungkin menangguhkan hasrat untuk berkahwin kerana memberi perhatian lebih kepada persekolahan adik-adik hinggalah adik-adik dulu yang berkahwin. Si kakak bila sampai masa untuk berkahwin, gagal pula bertemu jodohnya kerana lelaki yang dikira agak sebaya telah pun berkahwin lebih awal.

Atau yang belum berkahwin akan mencari perempuan yang lebih muda. Ada juga yang melewatkan kahwin kerana menunggu habis belajar sampai ke peringkat yang dicita-cita. Tetapi bila sudah sampai ke tahap itu, timbul pula masalah mendapatkan jodoh yang setaraf. Dalam keadaan-keadaan seperti ini, wanita berada di persimpangan.

Antara mencari jalan untuk dapat berkahwin atau terus hidup membujang. Jika mahu berkahwin juga, mereka tidak boleh lagi semata-mata menunggu, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Sebaliknya, mungkin sudah sampai masanya wanita sendiri yang harus memulakan inisiatif mencari dan memilih jodoh.

Paling tidak, mereka sendiri yang mula membuka mulut sekiranya memang sudah cukup bersedia untuk berkahwin. Di sini, perigilah yang berusaha mencari timba!Amalan ‘perigi mencari timba’ ini bukan amalan lumrah tapi tidak pula salah. Syariat Islam membenarkannya.

Di zaman Nabi s.a.w. sendiri ada berlaku. Seorang wanita pernah menemui seorang Sahabat menawarkan dirinya untuk dipinang sebagai isteri. Sahabat tadi menerimanya dengan senang hati kerana memang dia sendiri pun ada hati pada wanita tersebut, cuma malu untuk buka mulut.

Malah pernah seorang wanita menawarkan diri untuk diperisterikan oleh Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda tidak menerima tawaran itu tapi tidak pula mengatakan cara wanita itu salah. Rasulullah s.a.w. sendiri sebelum menjadi rasul telah berkahwin dengan Siti Khadijah r.ha ekoran lamaran yang dibuat oleh Siti Khadijah melalui seorang perantara. Ia disusuli oleh kunjungan adat wakil keluarga baginda yang menemui keluarga Siti Khadijah untuk merasmikan ikatan pertunangan dan seterusnya perkahwinan.

Paling utama dalam memilih jodoh adalah mendapatkan pasangan yang baik, sesuai dan serasi. Apabila calon telah ditemui dengan asas pemilihannya menekankan pada aspek agama dan akhlak, proses seterusnya sepatutnya menjadi lebih mudah.

Kerana Rasulullah s.a.w. berpesan: “Apabila datang (meminang) kepadamu orang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya maka kahwinilah ia. Jika tidak engkau perbuat (demikian), akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Dalam konteks ini amalan ‘perigi mencari timba’ boleh dilihat sebagai salah satu kaedah untuk memudahkan proses perkahwinan. Ia salah satu jalan keluar bagi mengatasi halangan bertemu jodoh dan berkahwin, khususnya bagi wanita.

Tidak Salah Perigi Mencari Timba – Dato’ Dr. Fadzilah

“Memanglah lumrahnya orang lelaki meminang orang perempuan. Tetapi tidak bersalahan kalau orang perempuan yang mencari jalan melalui kaedah yang baik dan munasabah untuk memulakan inisiatif atau mengesyorkan,” ujar pakar motivasi Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah.

Jelasnya, “Sebenarnya jodoh kita datang dengan bermacam-macam cara. Ada orang, yang lelakinya mencari perempuan. Ada orang, yang perempuan mencari lelaki. Ada orang yang sama-sama mencari.”

Katanya, dalam konteks ini orang perempuan boleh menjadi ‘pemburu’ sebagaimana orang lelaki juga boleh menjadi ‘pemburu’.

Bercakap tentang persoalan mencari jodoh dalam satu majlis forum untuk warga IPT, beliau menjelaskan lebih lanjut:“Orang lelaki kena mencari, orang perempuan juga kena mencari. Orang lelaki banyak pilihan, orang perempuan juga banyak pilihan. Ini perlu diingat.

Jangan kata, kita ni orang perempuan, apa nak buat. “Sebenarnya orang perempuan banyak pilihan dan wajar memilih. Memilih dengan cara apa? Banyak caranya. Memilih dengan cara istikharah, dengan berbincang, dengan meminta nasihat, dengan melakukan solat taubat dan sebagainya.

Itu cara-cara memilih. “Dalam banyak kes di mana kedua-dua pihak malu hendak memulakan inisiatif atau menyatakan hasrat, ia berakhir dengan kedua-duanya kecewa.”...

Tepuk Dada Tanya Iman..

0 budak kiut cakap-cakap: